Sunday, August 21, 2011

Konsistensi Nadi !

Bukan mudah, bukan juga payah!

Istiqamah itu susah kerana syurga itu indah!
Bersediakah bekal Ramadan kita untuk 11 bulan mendatang?
Istiqamahlah!


Mari berintrospeksi kerana kita milik-Nya!

Saturday, August 13, 2011

Bahasa ada kuasanya.....

Bersyukurlah dengan anugerah mulut dengan bahasa yang baik dan sopan kerana ada yang ditarik nikmat itu oleh-Nya! 
Alhamdulillah dikurniakan Allah sedikit peluang untuk menulis di sini, dengan harapan moga menjadi peringatan buat diri ini terutamanya.

Di sekolah dulu, saya berpeluang belajar 3 bahasa. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Belajar bahasa sebenarnya memang seronok. Ya la kan, kita dapat berkomunikasi dengan ramai orang yang berbeza bangsa dengan kita. Tapi sekarang, menguasai 3 bahasa itu bukan lagi satu perkara yang asing. Ramai saja orang yang mampu bertutur dalam 3 bahasa ini. Kehebatan Prof Dr Jalani Sukaimi; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi USIM yang mampu menguasai hingga lebih 5 bahasa membuat saya tertarik.  Apapun saya bersyukur sebab ada peluang nak belajar 3 bahasa ini.

Kisah bahasa, semangat itu takkan saya lupa
Baru-baru ini, saya sembahyang Jumaat di Kolej Kediaman 1 dalam kawasan kampus USIM sahaja oleh sebab selepas itu ada exam mid sem yang memerlukan kami sampai sebelum jam 2.30 petang. Biasanya saya dengan kawan-kawan  yang lain lebih senang untuk sembahyang Jumaat di Masjid Nilai. Tapi untuk 3 minggu ini, kami terpaksa ubah plan untuk elak daripada lewat sampai. Sebelum khutbah, kami mendengar tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh seorang pensyarah daripada Indonesia. Bahasanya yang bersahaja membuatkan saya tertarik.

Usai azan dilaungkan oleh rakan saya yang ditugaskan untuk menjadi Bilal, khatib pun memberikan ucapan pujian kepada Allah tanda khutbah akan dimulakan . Melihat gayanya yang berkulit hitam, saya menyangkakan khutbah kali ini akan disampaikan dalam Bahasa Inggeris ataupun Arab. Khatib minggu ini merupakan seorang pensyarah antarabangsa USIM yang bertugas di Fakulti Pengajian Qur'an Sunnah. Teruja juga sebenarnya nak dengar khutbah dalam bahasa selain  Bahasa Melayu.

Tapi sebaik sahaja selesai ucapan pujian dan selawat kepada Allah dan Rasul, lidah khatib tadi yang petah menyampaikan bicaranya dalam bahasa Arab bertukar menuturkan khutbah dalam Bahasa Melayu. Wah, sungguh hebat! Sungguh saya kagum dengan khatib ini. Walaupun penggunaan perkataannya tidaklah banyak dan selalu berulang-ulang hinggakan kadang-kadang jemaah ternanti-nanti apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh khatib ini. Namun, saya sangat tertarik dengan kesungguhannya dalam menyampaikan khutbah itu dalam Bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh makmum walaupun rata-rata makmum yang hadir adalah dalam kalangan pelajar dan pensyarah yang pastinya tidak sukar memahami Bahasa Inggeris mahupun Arab. Semangatnya itu akan cuba saya sematkan dalam diri ini untuk turut gigih bukan sahaja menguasai bahasa tetapi juga semangat itu juga akan saya guna dalam pelajaran.


Kisah bahasa, kasar tapi memang patut
Kesempatan tarawih di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini cuba saya maksimumkan. Peluang bertarawih sebulan dalam setahun satu nikmat yang besar sebenarnya. Sebelum waktu berbuka, saya bertolak ke sebuah masjid untuk berbuka dan solat tarawih di sana. Sebelum solat Isya', seorang imam bangun mengumumkan tentang kehilangan barang yang berlaku di masjid itu. Hanphone jenama tempatan dijumpai di dalam tandas tidak bertuan. Namun, tiada siapa yang datang mengambilnya waktu itu. Handphone itu dibiarkan dulu mungkin ada yang akan datang menuntutnya nanti. Imam itu meneruskan kalamnya. Kali ini dia berhajat memberi sedikit pesan kepada para jemaah yang hadir. Akibat jumlah jemaah yang semakin berkurangan dari hari ke hari, imam itu cuba melahirkan kekesalannya. Dia sangat berharap jemaah yang ada dapat terus konsisten dengan kehadiran mereka. Yalah mana tidaknya, hari pertama Ramadhan jumlah jemaah hampir melimpah keluar masjid tapi tak sampai separuh Ramadhan saf yang ada jauh berkurangan dan hanya tinggal beberapa kerat sahaja. Itulah fenomena biasa yang yang harus diperbetul. Orang kata 'biasakan yang betul, betulkan yang biasa'

Namun, saya seakan rasa terpanggil untuk bermuhasabah diri apabila imam itu agak keras dalam ucapannya sebentar tadi. Bahasanya yang sedikit tajam membuatkan saya  dan pak cik di sebelah sedikit terkasima. Penggunaan bahasanya bukanlah setajam manapun jika hendak dibandingkan dengan jumlah jemaah yang jauh merosot yang mungkin jauh  lebih tajam menusuk hati imam itu. Apapun saya merasakan penyusunan bahasa dan kata memang sangat penting dalam komunikasi kita hari ini dan Allah pula memberi saya peluang untuk berintrospeksi mengenainya dalam minggu ini. Adakah saya sudah cukup bagus dalam menyusun pertuturan seharian dengan mereka yang ada di sekeliling? Lebih-lebih lagi apabila diri ini berhajat melaksanakan tugas yang besar. Bukan senang dan saya akui diri ini masih terlalu jauh kepada realiti dalam medan amalan.


Konklusi
Bahasa itu indah. Lebih indah jika kita dapat manfaatkannya untuk disumbangkan kepada Islam.

Yang carik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Itu pesan guru BM saya. Terima kasih Cg Md Saad atas segala tunjuk ajar!
Minggu ini ada assessment 'kalam fardi' untuk subjek Bahasa Arab.
Moga dipermudahkan Allah.
Akhir kalam,
Mari berintrospeksi kerana kita kita milik-Nya!

Wednesday, August 3, 2011

Ramadhan itu bukan sebulan!

Sejujurnya catatan ini bukan daripadaku, sekadar berkongsi daripada pembacaan. Moga manfaatnya ada buat diriku yang terutama.

Tiba-tiba

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN. Bergema ucapan alu-aluan daripada Muslim yang rindu akan bulan pesta ibadah ini. Kesabaran menunggu selama ini yang kini menjelma di depan mata disambut dengan lafaz syukur serentak dengan sujud syukur. Alhamdulillah Ya ALLAH ! Engkau temukan aku lagi dengan Ramadhan, yang padanya ada sesuatu yang didambakan kekasih-Mu.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Jika bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin berkat syaitan yang dirantai, maka ramai manusia berwajah iman. Topeng syaitan ditinggalkan seketika. apabila mereka berwajah Ramadhan, maka apa yang terjadi ialah ibadah mengejut.

Tiba-tiba ibadah digandakan.
Tiba-tiba bangun qiamullail.
Tiba-tiba tahap kesabaran meningkat.
Tiba-tiba segala yang lagha itu semua ditinggalkan.
Dan macam-macam lagi.
Okey, tidak mengapa seandainya ibadah sepanjang bulan Ramadhan dilakukan dengan mengejut. Tidak mengapa jika malaikat Raqib sibuk sedikit dan Abid pula tidak disibukkan untuk merekodkan amalan buruk seseorang. Alhamdulillah jika itu yang berlaku sepanjang Ramadhan.
Namun jangan ulangi kejutan berupa 'tiba-tiba' itu seawal hari pertama graduate daripada madrasah Raamadhan.
Tiba-tiba makan banyak.
Tiba-tiba mendedahkan aurat.
Tiba-tiba terlupa di mana Al-Quran.
Tiba-tiba meninggalkan amalan solat-solat sunat yang sepanjang Ramadhan dikerjakan seolah-olah wajib.
Tiba-tiba memulakan kembali semua agenda lagha.
Apakah semua ini? Adakah ini suatu perbuatan membalas dendam? balas dendam kepada siapa pula ni?
Tidak mengapa jika tiba-tiba mengerjakan ibadah seolah-olah esok sudah tiada. Namun adalah suatu yang tidak patut jika tiba-tiba 'bertanduk' sebaik takbir Syawal bergema. Koreksilah diri. Apa niat utama kita berrpuasa sebulan? Adakah sekadar ingin berpuasa dan fokus kepada ibadah  hanya dalam tempoh sebulan Ramadhan sahaja? Apakah ibadah sepanjang bulan Ramadhan dapat menebus semua kealpaan kita daripada mengingati ALLAH selama 11 bulan?
                                                                                                                                    ( sumber : SOLUSI )

Moga Ramadhan ini mengalir keberkatannya dalam diri kita......
Ramadhan Kareem!
Mari berintrospeksi kerana kita milik-Nya!